Wednesday, April 30, 2014

BERIKAN NAMA YANG BAIK KEPADA ANAK


Alhamdulilah selepas lama sudah tak menulis, hari ini saya nak tulis sedikit mengenai NAMA ANAK. Idea untuk menulis tentang perkara ini apabila salah seorang sahabat saya baru sahaja mendapat cahaya mata. Tahniah untuk Naim dan Isteri serta anak yang baru dikurniakan Allah. Semoga menjadi anak yang solehah dan menjadi penyejuk mata dan hati abi ummi. 

Artikel ini juga mungkin bermanfaat bagi pasangan yang sedang menanti kelahiran putera atau puteri sulung mereka. Bukan tidak tahu, tetapi kadangkala kita terlepas pandang kepentingan memberikan nama yang baik dan bermanfaat untuk anak-anak kita. Sebahagian melihat ia hanyalah soal kecil dan tidak perlu diberat-beratkan. Tetapi secara peribadi bagi saya nama anak memainkan peranan penting dalam pertumbuhan diri mereka. 

Nama adalah sebutan yang sering dipanggil oleh semua orang. Nama yang baik, apabila disebut dan dipanggil setiap kali adalah doa untuk individu tersebut. Bayangkan namanya yang buruk misalnya, Abu Jahal. Setiap hari dipanggil begitu dan akhirnya benar-benar menjadi bapa kepada segala kebodohan.

Perkara ini juga pernah diingatkan oleh Imam Ibnul Qayyim, katanya “Kebanyakan orang-orang yang hina, nama mereka sesuai dengan diri mereka. Dan kebanyakan orang-orang mulia dan tinggi, nama mereka sesuai dengan diri mereka”.

Semoga Allah melindungi dan menjauhi kita dari kejahilan dan kelupaan.