Wednesday, April 30, 2014

BERIKAN NAMA YANG BAIK KEPADA ANAK


Alhamdulilah selepas lama sudah tak menulis, hari ini saya nak tulis sedikit mengenai NAMA ANAK. Idea untuk menulis tentang perkara ini apabila salah seorang sahabat saya baru sahaja mendapat cahaya mata. Tahniah untuk Naim dan Isteri serta anak yang baru dikurniakan Allah. Semoga menjadi anak yang solehah dan menjadi penyejuk mata dan hati abi ummi. 

Artikel ini juga mungkin bermanfaat bagi pasangan yang sedang menanti kelahiran putera atau puteri sulung mereka. Bukan tidak tahu, tetapi kadangkala kita terlepas pandang kepentingan memberikan nama yang baik dan bermanfaat untuk anak-anak kita. Sebahagian melihat ia hanyalah soal kecil dan tidak perlu diberat-beratkan. Tetapi secara peribadi bagi saya nama anak memainkan peranan penting dalam pertumbuhan diri mereka. 

Nama adalah sebutan yang sering dipanggil oleh semua orang. Nama yang baik, apabila disebut dan dipanggil setiap kali adalah doa untuk individu tersebut. Bayangkan namanya yang buruk misalnya, Abu Jahal. Setiap hari dipanggil begitu dan akhirnya benar-benar menjadi bapa kepada segala kebodohan.

Perkara ini juga pernah diingatkan oleh Imam Ibnul Qayyim, katanya “Kebanyakan orang-orang yang hina, nama mereka sesuai dengan diri mereka. Dan kebanyakan orang-orang mulia dan tinggi, nama mereka sesuai dengan diri mereka”.

Semoga Allah melindungi dan menjauhi kita dari kejahilan dan kelupaan.



IKUTLAH SARANAN RASUL
Nabi Muhammad saw memberi ingatan, bahawa kita semua akan dipanggil di hari kiamat nanti dengan nama-nama kita. Di waktu itu, semua orang mempunyai pelbagai nama, dan nama-nama yang ada didunia ini terpakai di akhirat nanti. 

Perkara ini dikuatkan berdasarkan sebuah hadith yang direkodkan oleh Abu Daud, Ibn Hibban dan Ahmad. Maksudnya, "Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh kerana itu perelokkanlah nama-nama kamu semua.”

Ibubapa zaman kini mungkin sedikit moden dan tidak seperti ibubapa zaman 60an dan 70an. Bahkan tidak mungkin ibubapa moden sekarang akan menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama bunga seperti Cempaka, Mawar dan Melor. Walaubagaimanapun apa yang pasti nama-nama tersebut tidak memudaratkan bahkan sebahagian mereka mekar dan berbau harum seperti nama mereka semasa membesar. 

Berbeza dengan ibubapa moden, yang aktif dan sering berinternet dan bersosial. Seringkali nama-nama seperti ziana, sofia, kamalia, erina, dan lain-lain yang sekadar memetik beberapa nama sering menjadi pilihan. Cuba tanya kepada ibubapa moden ini, adakah mereka faham makna nama-nama tersebut, atau sekadar sedap didengar dan ramai menggunakannya?

Saya pasti sebahagian hanya mendengar di kaca TV atau di majalah-majalah kemudian terus menamakan anak mereka, tanpa memikirkan implikasi kepada anak-anak tersebut. Jangan fikir sedap, tanpa mahu mengambil sedikit usaha memahami maknanya.

Namakanlah anak-anak kita dengan nama-nama yang kita faham maknanya. Ambillah masa dan bertanyalah kepada mereka yang kita percaya. Anak-anak ini akan membesar dengan nama mereka, dan kita sebagai ibubapa bertanggungjawab ke atas mereka. Nama yang baik ialah nama yang sebutannya elok, dan maknanya juga baik. Pepatah Arab ada menyebut, "Kewajipan ayah terhadap anaknya ialah: memilih baginya ibu yang baik, memberinya nama yang baik, dan mengajarnya adab yang baik".

Prof Madya Dr Fauzi Deraman berkata,"Memberikan nama yang baik kepada bayi antara kewajipan kedua ibu bapa terhadap anaknya, nama menjadi hak milik anak yang mesti dipenuhi sang ayah. "Dalam satu kisah di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khatab, seorang anak datang menemui beliau dan bertanya mengenai hak anak ke atas bapanya dan Umar menjelaskan memilih ibunya, memperelokkan namanya dan mengajar mengenai al-Quran," 


PILIHLAH NAMA YANG UTAMA
Nama yang paling afdhal adalah nama-nama yang disukai oleh Allah. Nama-nama tersebut ialah Abdullah dan Abdurahman. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Abu Daud, bermaksud, "Nama yang disukai oleh Allah adalah Abdullah dan Abdurahman".   


Kemudian nama-nama para Nabi, dan tidak terhad kepada nama Nabi Muhammad sahaja. Sesuai dengan sabda Rasulullah, "Berikanlah nama dengan nama para nabi, dan nama yang paling disukai ALLAH iaitu Abdullah dan Abdul Rahman.”(Hadith direkodkan Imam Abu Daud dan al-Nasaii)

Begitu juga dengan sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad yang bermaksud, "Dari Yusuf bin Abdis Salam, beliau berkata : Rasulullah memberikan nama kepadaku Yusuf." (Hadith ini Sahih menurut kajian Ibn Hajar al-Asqolani)

Namun begitu, sebaik-baik nama Nabi adalah yang paling utama ialah nama Nabi Muhammad saw. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa pada Hari Kiamat malaikat akan memanggil: "Bangunlah orang yang namanya Muhammad dan masuklah ke dalam syurga, kerana memuliakan Nabi Muhammad saw" (Mughni al-Muhtaj 4/371)

MENAMAKAN ANAK DENGAN NAMA PARA SAHABAT DAN ORANG-ORANG SOLEH. Saya sengaja hightlight perkara ini kerana, sahabat saya baru sahaja menamakan anak beliau dengan nama salah seorang sahabat Rasulullah. Saya cuba membantu beliau mencarikan nama yang baik untuk anaknya. Akhirnya saya terbaca mengenai seorang sahabat nabi dari kalangan wanita. Banyak riwayat menceritakan tentang sahabat ini, bahkan beliau tergolong dari kalangan keluarga Rasulullah berdasarkan nasab dari atok Rasulullah iaitu Abdul Mutalib.

Saya mencari-cari hadith yang membenarkan atau memberikan galakan memberikan nama yang baik. Alhamdulilah saya bertemu dengan sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim daripada al-Mughirah bin Syu’bah radhiyallahu ‘anhu. Nabi sallallah ‘alaih wa sallam pernah ditanya tentang Maryam binti ‘Imran, apakah dia saudara perempuan kepada Nabi Harun dan Musa? Baginda menjawab, "Tidak, akan tetapi mereka diberikan nama dengan nama-nama para nabi dan orang-orang soleh di kalangan mereka.” 

Berdasarkan dari riwayat di atas, saya berasa teruja dan gembira sekali memberikan nama tersebut kepada beliau. Berkali-kali saya mendoakan kebaikan dan kesejahteraan puteri beliau, bahkan mendoakan agar menjadi selebriti Langit di sisi Allah kerana sering disebut-sebut oleh ahli Langit dan bumi. 

Kesimpulannya dari artikel ringkas ini adalah, ibubapa perlu berhati-hati dan memberikan perhatian penting dalam memberikan nama kepada anak-anak. Panggilan yang baik memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemiliknya untuk berkelakuan baik. Walaupun nama itu lebih kepada aspek maknawi, tetapi pengaruhnya terhadap luaran juga besar. 

Ada sesetengah orang sanggup menjaga dan mempertahankan namanya lebih daripada menjaga harta supaya tidak terjejas namanya. Inilah peranan dan kuasa nama kepada individu bahkan ada riwayat mengatakan Nabi Muhammad menukarkan nama-nama sahabat yang maknanya buruk dan jelek. 

Dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam tirmidzi, dikatakan bahawa Rasulullah telah menukar nama-nama yang buruk. Misalnya nama anak perempuan Umar dinamakan dengan nama Asiah (wanita yang derhaka), lalu dinamakan oleh Rasulullah dengan Jamilah.

Akhir sekali, nama anak bukanlah perkara remeh. Ibubapa perlu mengambil tahu, dan cuba-cubalah membeli bahan bacaan mengenainya dan sering bertanya kepada mereka yang tahu. Semoga ibubapa yang bakal menimang cahaya mata menjadikan perkara ini sebagai satu medan ibadah mereka yang akhirnya nanti anak-anak ini jugalah akan mendoakan roh mereka. 

Semoga Muhammad Yassir nama yang saya dan isteri berikan kepada putera sulung menjadi lambang mujahid yang tercatat dilembaran sejarah. Walaupun tidak sehebat dan seindah cerita Sumayyah dan Yassir, tetapi cukuplah jika putera kami menjadi Quratun Ain, dan bertaqwa kepada Allah. 

Semoga nama-nama ini dipanggil oleh Allah di syurga nanti.




YUSSAMIR
27 APRIL 2014
MELAKA

No comments:

Post a Comment