Saturday, February 15, 2014

CINTA TIDAK BERSYARAT

Pernahkah kita tengok seorang ibu meminta kepada seorang anak membayar susu yang pernah diberinya? 
Pernah kita mendengar seorang bapa mengukit berapa banyak duit yang dihabiskan untuk membesarkan kita?

Itulah cinta tidak bersyarat. Ibubapa kita mencintai kita tanpa sebarang syarat. Ibu menanggung penat memberi susu kepada kita, bapa pula memerah keringat membesarkan kita. Tetapi mereka tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan dari anak-anak mereka.

Apa yang penting bagi mereka, anak-anak mereka dapat membesar dan menjadi orang yang soleh. Itulah cinta teragung, cinta yang tidak bersyarat.

Saya pernah bertanyakan kepada ibu saya, apakah yang beliau inginkan semasa bernikah dengan ayah. Ibu diam seketika, kemudian menjawab, “Entahlah, apa yang ibu tahu, ibu cintakan ayah. Tak pernah mengharapkan apa-apa balasan dari cinta yang ibu berikan kepadanya.”

Ayatnya mudah, tetapi cukup memberi kesan kepada jiwa saya. Dalam bahagian sebelum ini, saya ada menceritakan soal menuntut hak. Rupa-rupanya baru saya sedar, untuk mengelakkan dari diri menuntut hak, kita perlu ada sifat ‘Unconditional love’ dalam diri.

Cinta seorang isteri kepada keluarga adalah cinta yang tidak bersyarat. Cinta tidak bersyarat, kukuh dan kuat, tidak lekang oleh waktu. Suatu saat cinta itu berbuah, apabila suami khilaf maka cintanya mampu membawa kembali kepada keluarganya. Cinta mengatasi luka, derita dan air mata.

Tidak kiralah suami atau isteri, cinta tidak bersyarat harus disemat dalam diri.  Apabila kita tidak mengharapkan balasan di atas apa yang kita lakukan, dalam masa yang sama sifat ego dan menuntut hak akan terhakis.

Isteri menyayangi suami tanpa mengharapkan balasan, begitu juga suami yang mencintai isteri tanpa sebarang habuan. Apabila cinta tidak bersyarat menjadi teras, kehidupan akan saling melengkapi.


KUNCI KASIH SAYANG
Saya tidak pasti apakah kunci kasih sayang yang tepat untuk kita fahami. Tetapi apa yang saya faham, kunci kasih sayang adalah mencintai tanpa mengharapkan balasan.

Tidak timbul lagi persoalan, “Apa yang aku dapat kalau aku tolong isteri di dapur?” Atau “Apa yang aku boleh dapat kalau masakkan makanan untuk suami?” Dan bermacam-macam lagi “Apa yang aku dapat”

Jika kita selalu fikirkan apa yang patut aku dapat, saya rasa perkahwinan itu tidak akan bertahan lama. Cinta bersyarat selalunya membawa bencana, persis sebuah dokumen perjanjian perniagaan yang bersyaratkan keuntungan, jika tidak ia perlu ditutup.

Cuba kita terbalikkan “Apa yang sepatutnya dia dapat”. Saya rasa ini ungkapan yang paling tepat dalam melayari bahtera perkahwinan. Suami cuba meletakkan dirinya dalam kondisi seorang isteri, dan begitu juga dengan isteri.

“Kalau aku bagi hadiah, pasti isteri akan gembira.”
“Kalau masak ayam masak sambal, pasti suami suka.”
“Tolong basuh baju dengan isteri, dapat kurangkan beban isteri.”

Dan bermacam lagi yang boleh kita buat untuk menggambarkan “Apa yang sepatutnya dia dapat.”

Suami perlu ikhlas mencintai isteri, melaksanakan tanggungjawab dan memegang amanah menjaga keluarga. Soal isteri membalas jasa baik atau tidak, ia soal kedua. Apa yang penting beri dahulu, tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Pernah dengar cerita tentang seorang lelaki mendoakan rakannya tanpa rakannya mengetahui? Dalam sebuah hadis direkodkan oleh Imam Muslim, Rasululah bersabda, “ Doa seorang muslim untuk saudaranya (sesama muslim) tanpa diketahui olehnya adalah doa mustajabah. Di atas kepalanya (orang yang berdoa) ada malaikat yang telah diutus. Sehingga setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan, “Amin dan kamu juga akan mendapatkan seperti itu.”

Pengajaran dari hadis di atas, lelaki yang mendoakan rakannya itu tidak mengharapkan sebarang balasan di atas doa yang dipanjatkan. Kerana keikhlasan tersebut doa beliau dimakbulkan oleh Allah. Itulah cinta tanpa syarat, melakukan sesuatu tanpa mengharapkan balasan.

Sungguh hebat cinta tanpa bersyarat!

No comments:

Post a Comment