Thursday, May 1, 2014

HORMATI DAN CINTA ANAK KITA

Melbourne bukan sahaja cantik dan indah dengan gunung-ganang dan pulau-pulau kecil. Kalau berkesempatan ke sana, anda pasti terkejut dengan kebersihan dan susunatur bandar yang sungguh sistematik. Ladang-ladang lembu mereka, hijau jauh memandang. Sampaikan saya pernah kata kepada isteri ladang-ladang mereka ini boleh ditidur begitu sahaja. 

Di Philips Island

Melalui jalan-jalan kampung sekitar kepulaun Victoria, terasa seperti berada di sebuah dunai lain. Amat indah, bersih, serta kawasan yang nyaman. Jalan-jalan dilindung dengan pokok-pokok besar yang menghijau, seredup mata memandang. Sesekali saya melihat keluarga yang menetap di rumah-rumah kecil sepanjang jalan duduk berehat menghirup kopi. 

Kesempatan saya ke Melbourne tahun lepas memberikan pengalaman dan pelajaran yang baik. Bukan setakat kagum dengan sistem pentadbiran, teknologi, dan alam semulajadi yang dijaga dengan baik. Saya juga belajar bahawa orang-orang dewasa Australia, khususnya Melbourne sangat mesra dengan anak-anak kecil. 

Bukan setakat mesra, tetapi mereka mennghormati dan memberikan layanan terbaik kepada golongan kecil ini. Sebut sahaja tentang kemudahan anak-anak kecil, sudah pasti anda tidak perlu tercari-cari. Bahkan, ibubapa melayan anak-anak mereka penuh dengan diplomasi dan mesra.


HORMATI ANAK KECIL
Kita mungkin jarang memberi perhatian tentang perkara ini. Apa yang kita mahukan adalah mereka yang perlu menghormati dan memenuhi hak ibubapa. Ini adalah perkara normal dalam mana-mana keluarga dan ia soalah-olah menjadi budaya turun temurun. Tetapi adakah ini yang dituntut dalam agama serta tradisi?

Tidak adil untuk saya berikan pandangan saya mengenai isu ini. Saya mungkin salah dan betul, kelebihannya saya menulis untuk pihak ibubapa dan anak-anak (saya juga bapa dan saya juga anak). Baiklah, apa kata kita sama-sama melihat apa yang dikatakan oleh Rasulullah mengenai hak dan kepentingan menghormati anak-anak.

Diceritakan bahawa Ibn ‘Umar berkata, “Allah telah memanggil mereka abraar (orang yang baik) kerana mereka menghormati (barru) bapa-bapa mereka. Seperti ayah anda ada hak atas anda, begitu juga anak-anak anda ada hak atas anda." (Al-Adab al-Mufrad, Imam Bukhari)

Hadith di atas memberi petunjuk bahawa ibubapa dan anak-anak mempunyai hak yang perlu dipenuhi. Dalam erti kata lain, fair and square kedua belah pihak perlu memenuhinya tanpa ada prejudis. Inilah yang memberikan satu gambaran bahawa  interaksi sebegini akan memudahkan komunikasi dan pertumbuhan anak-anak. 

Saya teringat dengan sebuah peristiwa antara Rasulullah dan seorang anak kecil. Peristiwa ini diceritakan oleh Sahl bin Saad dan direkodkan dengan baik oleh Imam Bukhari dan Muslim. Satu hari Rasulullah pernah dihidangkan minuman. Kemudian baginda meminumnya sedikit. Di sebelah kanan baginda ada seorang anak kecil dan orang dewasa di sebelah kiri. Baginda bertanya kepada anak kecil tersebut, "Adakah kau rela jika minuman ini aku berikan kepada mereka (kepada orang dewasa)? Anak kecil itu menjawab, "Aku tidak rela ya Rasulullah, demi Allah aku tidak akan berikan kepada sesiapa pun merebut bahagianku darimu". Mendengar sebegitu, Rasulullah meletakkan minuman itu ke tangan anak kecil tersebut.

Nah, beginilah sikap dan peribadi Rasulullah ketika bersama dengan anak-anak kecil. Rasulullah meletakkan hak anak kecil itu sama dengan orang dewasa, malah mengutamakannya kerana anak kecil itu memang berhak ke atas minum tersebut. 

Senario ini jarang kita lihat, apa yang sering berlaku kita sering menggunakan alasan "orang Tua dulu, budak-budak nanti dulu. Saya pernah mengalami situasi yang sama dalam sebuah majlis. Makanan sudah siap disusun, anak-anak kecil sudah dari awal beratur untuk mengambil. Tiba-tiba ada seorang pakcik dengan bangganya bercakap, "Bagi laluan orang-orang tua dulu, korang pergi beratur belakang sana". 

Aduhai, sungguh malang kalau konsep "orang tua dulu budak-budak nanti dulu" menjadi tradisi turun temurun dalam masyarakat. Tradisi ini harus diubah agar anak-anak menghormati orang-orang tua (bukan takut) dan mencambahkan rasa kasih dan sayang kepada anak-anak kecil. 

Sikap dan tauladan dari Rasulullah perlu diterapkan dalam diri semua orang dewasa. Jika ini berlaku, ia akan membuatkan anak-anak lebih rasa dihargai, dan disayangi. Dalam masa yang sama membuatkan mereka bersikap lebih baik, menghormati orang tua dan tidak berasa takut untuk berinteraksi dengan masyarakat. Anak-anak dapat membesar dalam suasana yang positif sehingga mampu membentuk rasa percaya diri yagn besar dan berakhlak. 


CINTAILAH ANAKMU
Sejak dari tadi, saya perhatikan seorang wanita Australia ini melayan anaknya. Melayan anaknya penuh dengan sabar dan sentiasa tersenyum. Ayahnya pula sekadar memerhati sambil berjaga-jaga jika anaknya lari dari mereka. Tidak tahu kenapa, anaknya Tantrum dan menjerit-jerit sehingga terduduk. Saya menunggu juga adakah ibu atau ayah anak kecil itu akan marah atau memukul anak mereka. Tetapi sangkaan saya meleset, layanan dan sikap sama sahaja tetapi lebih mesra dari tadi.

Ibunya memeluk anak sambil berbisik ke telinga anaknya, ayahnya pula cuba membuat lawak dan pelbagai memek muka untuk memujuk. Selepas beberapa ketika, anak kecil itu diam dan bermain seperti biasa. Orang ramai pula tidak ambil port, tetapi sekadar tersenyum dan berlalu begitu sahaja. Ada juga yang cuba memberi bantuan dengan memberi gula-gula tetapi ditolak baik oleh ibubapa anak kecil itu. Apa yang nak saya katakan, suasana terkawal dan perkara ini bukanlah perkara LuarBiasa yang perlu dijadikan tontonan awam.

Saya cuba mencari pengalaman atau peristiwa yang pernah saya alami di negara saya seperti apa yang saya nampak tadi. Saya cuba korek sedalam mungkin dari memori saya, tetapi hampa. Apa yang saya ingat hanyalah tengkingan, pukulan, dan layanan endah tidak endah dari ibubapa, ketika anak-anak mereka tantrum. Lebih teruk lagi, ibubapa tersebut menggungut untuk tinggalkan anak mereka! 



Owh mungkin ada yang masih tidak tahu dengan perkataan Tantrum. Tantrum ini adalah keadaan anak menangis sambil terjerit-jerit dan kadangkala sampai terbaring-baring. Jika keadaan tidak dikawal dengan baik, anak akan lebih agresif dan mungkin kita sebagai ibubapa hilang kewarasan.

Alhamdulilah, pengajaran dari Melbourne dulu dan dari pembacaan kami tentang psikologi anak-anak, membuatkan kami terdidik dalam situasi begini. Apabila Yassir Tantrum atau menangis tidak henti, kami akan memeluknya dan ucapkan kata-kata yang baik kepadanya. Kami sendiri akan menenangkan diri dan menghalang dari melakukan perkara tidak baik kepadanya. 

"Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali ‘Imran: 134)

Mungkin anda terpaksa ambil masa yang lama untuk menenangkan anak anda. Tetapi percayalah, tengkingan, herdikan, serta ugutan untuk mendiamkan anak-anak bukanlah cara yang betul. Anak-anak akan lebih benci dan bertindak agresif. Ketika dalam fasa kanak-kanak, mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang. Kasih dan cinta yang tidak berbelah bagi untuk mereka. 

Kasih dan cinta akan membuatkan ibubapa lebih waras, dan anak-anak lebih mudah dipujuk. 
Cinta yang tulus lebih efektif untuk mengasuh, mengarahkan, mendidik, dan mendorong anak untuk lebih bertanggungjawab dan mudah dibentuk.  Jika kita ingin anak-anak kita mudah dijaga dan menghormati kita, tanamkanlah sifat kasih dan sayang dalam diri mereka. Cintailah mereka sepenuh hati dengan tulus. Tanpa syarat.

Belajarlah dari kisah Al-Aqra bin Habis. Beliau adalah seorang bapa yang mempunyai 10 orang anak. Pada suatu hari beliau melihat Rasulullah mencium Hassan, cucu baginda. Kemudian, Al- Aqra bin Habis berkata, “Sungguh, aku memiliki sepuluh anak. Tidak satu pun dari mereka yang pernah aku cium.” Mendengar perkataan ini, Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” (Sahih Muslim) 

Menjadi ibubapa bukanlah semudah kata, semanis kurma. Ibubapa adalah penjaga, pemegang amanah, dan pendidik anak-anak. Ibubapa adalah imam, anak-anak adalah makmum yang mengikuti setiap langkah dan kata imam. Kadangkala pepatah "baik akarnya, baiklah buah yang tumbuh" perlu direnung. Walaupun iman tidak diwarisi, tetapi kebaikan dan keburukan anak sebenarnya lahir dari ibubapa. 


“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barang siapa menaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.” (Al-Ahzab [33]: 70-71).




YUSSAMIR YUSOF
Melaka, Krubung Perdana,
1 Mei 2014
fb: tips kurus sihat bergaya

1 comment:

  1. Assalamualaikum & Salam Ramadhan

    Terima kasih atas entri ini sebab sedikit sebanyak telah menimbulkan kesedaran kepada saya untuk lebih berlemah lembut dalam mendidik anak. kadang kala saya hilang kesabaran dan pernah mencubit anak saya tetapi kemudian timbul rasa menyesal dan kesian dan saya akan menerangkan kepada anak kenapa saya bertindak sedemikian serta meminta maaf. Tulisan saudara sedikit sebanyak telah menyedarkan saya. T.kasih,.

    ReplyDelete