Sunday, February 16, 2014

CERITA CINTA AHMAD AMMAR

Gambar Ammar saya ambil dari FB beliau

Siapa Ahmad Ammar? Tanya saya sendiri. Saya tidak kenal dan ini kali pertama saya mendengar nama beliau. Majoriti rakan-rakan FB banyak 'share' video beliau yang disusun dan dibuat oleh GPTD, iaitu sebuah badan NGO di bawah ABIM.

Saya menonton video tersebut, hati saya sebak, saya tidak tahu mengapa. Saya tidak mengenalinya, tetapi sejak hari itu saya seolah-olah baru berkenalan dengan susuk tubuh pemudah al-fateh ini. Manusia tidak mengenalinya semasa hayat, tetapi di hari akhirnya, namanya sentiasa bermain dibibir manusia.

Benarlah firman Allah, "dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya". (Al-Baqarah:154)


Beliau digelar sebagai "Si Syahid yang tertangguh" oleh guru-guru beliau dan rakan-rakan yang rapat dengan beliau. Benarlah kata-kata itu, Ammar masih 'hidup', dan berjaya menjetik jiwa-jiwa pemuda dan pemudi untuk bangkit menjadi mujahid dan Muslim yang soleh.

Seperti kata pepatah, untuk mengenali seseorang itu tanyalah pada rakan-rakan yang rapat. Memang benar pepatah tersebut. Saya membaca dengan cermat tulisan-tulisan rakan-rakan dan orang yang mengenali beliau secara langsung di dalam Memoir ini. Setiap dari mereka menceritakan dengan jujur peribadi Ahmad Ammar, peribadi yang luarbiasa. 

Saya terkesan dengan peribadi yang ditunjukkan oleh arwah, dari bercakap hinggalah dari sifat tenang yang sering ditunjukkan. Penceritaan kembali rakan-rakan arwah seolah-olah memberi visual kepada saya secara langsung bagaimana sebenarnya arwah dalam bermualah dengan manusia dan berhubung dengan penciptaNya. 

Tertarik saya dengan tulisan Ustaz Hasrizal dalam menggambarkan hebatnya Ammar ini, "Dia adalah insan biasa yang luarbiasa. Seorang yang tidak dikenali ahli bumi semasa hidupnya. Namun menjadi 'selebriti' dalam kalangan ahli langit dan bumi selepas kematiannya".


MENJADI PEMUDA AL-FATEH
Saya terkesan dengan visi dan misi yang diterapkan oleh kedua ibubapa Ammar sejak dari kecil lagi. Visi Ummatik yang diterapkan benar-benar dijiwai dan difahami oleh Ammar. Hidup ini bukanlah untuk diri sendiri, tetapi diri ini adalah hak milik ummat yang memerlukan. Konsep ini membuatkan Ammar sentiasa santun dan tiada dendam atau kecewa dalam setiap yang beliau hadapi. 

Sejuk hati ayah Ammar apabila mendengar kata-katanya, "Abah, dunia ini adalah tempat untuk berjuang dan tempat untuk kita berpenat. Kita rehatlah bila mati dan syurgaNya sedang menanti.."

Persis untaian hikmah yang diberikan Abdul Malik anak kepada Khalifah Agung Umar Ibn Aziz ketika ayahnya mahu berehat dari menjalankan tugasnya. "Apakah ada yang dapat menjamin bahwa engkau masih hidup hingga waktu dzuhur tiba, wahai Amirul Mukminin?"

SUMBER FB AMMAR


Indahnya menjadi bapa kepada seorang anak yang mempunyai nilai dan misi menjadi seperti pemuda-pemuda soleh seperti al-fateh. Hidupnya diwakafkan untuk ummat, butir bicaranya hanya untuk ummat, bahkan makan dan minumnya sentiasa memikirkan untuk ummat. Alangkah bahagianya, jika saya dapat bertemu dan berkenalan dengan Ammar. 

"Ammar adalah 'Muhammad al-Fateh Malaysia' yang telah berjaya membuka mata hati umat yang leka dan alpa selama ini. Arwah adalah anak muda yang berjaya menyedarkan seluruh penduduk bumi, tanpa mempunyai sebarang jawatan tinggi dan tidak pula perlu bersuara lantang untuk menyuarakan kehendak dan tuntutan umat" - Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.


CATATAN AKHIRKU
Saya habiskan buku ini hanya dua hari. Bahkan rupa-rupanya saya membeli  buku ini pada tanggal 15 Febuari. Iaitu tarikh Ammar dilahirkan iaitu 15 Febuari. Mungkin ini adalah tanggal pengenalan kami dari alam yang berbeza. Alhamdulilah, saya membaca, menangis, dan berfikir bahawa anak muda ini benar-benar telah mendidik saya. Mendidik saya untuk menjadi Muslim yang soleh dan mewakafkan diri untuk agama.

Tiada kata yang dapat saya ungkapkan lagi, tiada tinta yang dapat menghiasi warkah-warkah insani. 

"Terima kasih Ammar. Aku tidak mengenalimu, bahkan aku tidak pernah mendengar namamu. Allah telah mempertemukan kita dalam bentuk dan cara yang berbeza. Kau menjetik roh-roh dan jiwa Islami yang semakin kendur dalam diriku, agar aku kembali bangkit dan bergerak kembali. Terima kasih Ammar. Semangat, kesungguhan, visi dan misi Ammar akan aku teruskan. Ammar, benar-benar kau adalah teman syurga yang aku kenali." - Yussamir Yusof.



Yang Mengenalimu,
Melaka
16 Febuari 2014






















8 comments:

  1. salam ziarah di sini. Assalammualaikum.. teruskan menulis...

    kuazue.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Setiap kali saya menyelak helaian buku ini...terus sebak...dakwah kita baru sidekit berbanding usia kita...

    ReplyDelete
  3. saya akui... saya tidak penah mengenali insan bernama ahmad ammar ini... tetapi setelah beliau berapa di dunia lain saya mulai mengenali beliau.... malah saya ingin dan teringin mengenali beliau dgn lebih lagi.... sehingga satu tahap saya ddk dihadapan komputer dan mencari dan cube mengenali beliau... buku cerita cinta ahmad ammar... saya baca sambil ditemani air mata... ya allah Engkau kenal kan aku dengan beliau setelah beliau berada didunia lain.. dunia yg abadi...... aku bersyukur mengenali mu ahmad ammar.

    ReplyDelete
  4. Semoga Rohnya sejahtera di alam abadi...

    video ammar : http://www.youtube.com/watch?v=K3lmc1LJWMM

    ReplyDelete
  5. semoga menjadi ikutan kepada anak muda yg lain .ameen .

    ReplyDelete