Tuesday, June 24, 2014

MEMAHAMI WAHABI DAN KEBENARANNYA

Jam sudah 2 pagi, angin semakin kuat hingga menembusi daging menggigit tulang. Saya jangkakan waktu-waktu begini kawasan akan lebih lengang, tapi hampa. Semakin ramai keluar masuk ke dalam masjidil haram, membawa baju tebal dan makanan untuk mengalas perut. Suasana begini rupa-rupanya adalah perkara biasa, lebih-lebih lagi apabila musim haji. 

Kata rakan saya, Masjidil Haram tidak pernah kosong, hampir setiap saat orang akan keluar dan masuk untuk solat di dalamnya. Musim Haji tahun ini sedikit mencabar katanya, cuaca kering dan sejuk meliputi seluruh tanah haram. 

"Jangan lupa pakai lips balm" pesan Ahmad ketika terserempak dengan saya di lobi hotel Habibah sebelum melangkah keluar. Ahmad berasal dari Riyad, datang ke Makkah untuk membantu bapanya seorang tukang masak di sini. Orangnya tinggi lampai, kurus dan berambut kerinting. Pada mulanya saya ingatkan Ahmad orang kelantan, tetapi bukan. Ahmad orang Pattani yang sudah lama menetap di sebuah daerah di Riyad bersama keluarga Pattani yang lain. Tetapi bahasa Kelantannya sukar untuk difahami, saya lebih selesa berbahasa Arab dengannya.

Pagi itu saya sengaja keluar awal untuk ke Masjidil Haram, ingin tahajud saya beritahu Ibu.
"Hati-hati, pakai jaket kulit yang baru beli pagi tadi. Jumpa dekat hotel lepas Zuhur ya." Ibu saya membetulkan mafla yang saya lilitkan di leher.  "ala-ala pejuang Palestin," getus hati kecil saya. :)

Jalan di sekitar Makkah turun dan naik, dan apa yang pasti debu-debu pasir akan melekat di hidung. Kedai-kedai di sekitar Makkah tertutup rapat, kosong dan sunyi. Kadang-kadang terserempak dengan jamaah dari Malaysia yang turut sama menuju ke Masjidil Haram. Semua sama, memakai gelang tangan besi, dan membawa bag slendang berlogo Malaysia. 


Dari hotel Habibah ke Masjidil Haram mengambil masa 30 minit. Tidak terlalu lama bagi mereka yang berjalan laju seperti saya. Kelihatan di belakang saya seorang pakcik tergesa-gesa mengejar saya.

"Anak, nak pergi ke masjidil haram juga kan? Teman pakcik." Nama pakcik ini Ismail, seorang warga emas dari kedah. Mungkin berseorang datang ke sini, saya tidak mahu bertanya lanjut. Saya berjalan seiring dengannya, langkah terpaksa diperlahankan. 

Sampai sahaja di Masjidil Haram kami berpisah, pakcik Ismail mahu terus menghala ke Hijr Ismail, manakala saya pula ke bahagian bawah Masjid (basement). Ramai yang beriktikaf, ada yang membaca Quran, solat sunat dan berbaring menunggu Subuh saya rasa. 

Semua itu tidak saya hiraukan, tetapi yang menarik perhatian saya apabila melihat ada sekelompok orang sedang berbincang sesama sendiri. Seperti sebuah perbincangan yang serius, ada yang bersandar dan ada yang sedikit tinggi suaranya. "Ah, pasti menarik perbincangan ini." Soal saya, yang sekadar melihat dari tadi. Selepai solat sunat dan membaca semuka al-Quran, saya mendekati kumpulan ini. 

"Assalamualaikum, saya Yussamir. Boleh saya turut serta?" Saya memperkenalkan diri dan memohon untuk turut serta. Mereka menerima dengan gembira, dan memberikan saya tempat di sebelah seorang lelaki Singapura. 

AS-SUDAIS WAHABI
Itu perkataan yang saya dengar. Saya tidak tahu pangkal perbincangan ini, tetapi apa yang saya pasti mereka membincangkan tentang Wahabi. Saya tidak ingat nama rakan Singapura yang duduk di sebelah saya. Tetapi apa yang saya ingat, dia mengatakan bahawa Imam Makkah ketika itu iaitu As-Sudais adalah Wahabi. Rakan-rakan lain juga menambah bahawa Makkah dan Madinah akan hancur, kerana berada di tangan Raja Wahabi. 

Ketika itu saya langsung tidak tahu apakah itu Wahabi, dan apakah kisah sebalik nama Wahabi ini. Umur saya waktu itu masih muda merah. Anak muda yang berumur 17 tahun, bersekolah agama di Malaysia dan tidak pernah diberitahu tentang Wahabi. Bahayakah Wahabi ini? Sesatkah Wahabi ini? Wahabi ini sejenis apa? Pelbagai persoalan bermain di kepala ketika itu. Saya segan untuk bertanya, dan saya biarkan mereka rancak berbincang sambil kepala saya ligat memikirkan siapakah gerangan Wahabi ini?

BAHAYA WAHABI
Saya sempat belajar dan bertemu beberapa guru di sana. Mengambil ilmu dan akhlak yang ditonjolkan oleh guru-guru saya. Mereka setiap hari tidak pernah lelah mengajar dan berkongsi ilmu yang ada di dada. Memerhati gerak geri mereka dan peribadi benar-benar mencerminkan apa yang diajar oleh mereka. 

Setiap hari mereka dihurung orang ramai seperti semut menghurung gula untuk bertanya pelbagai soalan. Setiap soalan dijawab dengan baik dan senyuman. Mana-mana soalan yang tidak tahu dengan spontan mereka menjawab "La Adri" saya tidak tahu. Kemudian terus menyambung menjawab soalan-soalan lain yang datang dari pelbagai latar bangsa dan berbagai warna. 

Saya tidak lagi bersama kumpulan pagi tadi. Saya rasa saya perlu mencari jawapan siapakah gerangan Wahabi ini. Selepas Asar saya singgah di kedai-kedai buku yang ada di sekitar Makkah. Dari satu buku ke satu buku, saya hilang arah dan tujuan. Tidak tahu nak mula dari buku mana dan buku apa.

Pakcik yang menjual buku datang dekat dengan saya, "Cari buku apa?" Saya terkejut, memandang wajahnya dengan lemah. Perlahan-lahan saya cakap, "Tentang Wahabi." Muka pakcik tadi berubah, tiba-tiba terus gelak dengan kuat. Saya termanggu, saya berlawak ke tadi? 

Pakcik itu menarik tangan saya lembut membawa saya ke sebuah rak buku yang tertulis 'Fikrah'. Beliau menyuruh saya mencari buku tentang Wahabi di bahagian itu. Sebelum beredar di berkata lembut kepada saya, "Saya juga wahabi." Sambil gelak dan kemudian berlalu pergi. Sekali lagi saya tidak faham, kenapa dia gelakkan saya. 

Selepas sejam membelek saya tidak berjumpa dengan buku yang khusus menceritakan tentang Wahabi. Tetapi saya dicadangkan untuk membeli dua buku ini iaitu 'Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, Da'watuhu Wasiirahuhu, oleh Syeikh Abdul Aziz bin Bazz, dan Syeikh Muhammad Abdul Wahab, Hayatuhu Wafikruhu, oleh Syeikh Abdullah As-Shalih Al-Uthaimin. 

BERKENALAN DENGAN WAHABI SEPERTI BERKENALAN DENGAN ISTERI
Untuk pengetahuan, saya tidak hanya berpandukan dua buah buku di atas untuk memahami siapakah Wahabi ini. Tetapi dua buku ini antara penyumbang kepada cahaya di lorong kelam ketika saya cuba mengenali dan memahami Wahabi ini. Selepas dari itu, dari satu buku ke satu buku, dari satu jurnal ke satu jurnal, dan puluhan perbincangan, pelbagai perbahasan dan seminar mengenainya saya hadiri. 

Saya membuka minda saya, melapangkan dada dan sering mencari dan memperkembang pengetahuan saya mengenainya. Tidaklah susah bagi mereka yang mencari, bahkan Allah telah menjanjikan kefahaman agama kepada mereka yang berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Sepertimana yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam Sahihnya yang bermaksud, "Barangsiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan, maka difahamkan agama untuknya". 

Berkenalan dengan Wahabi seperti sesi perkenalan antara lelaki dan wanita. Sebelum bernikah, agama memberi kelonggaran untuk si lelaki dan wanita mengenali pasangan mereka. Maka sibuklah si lelaki bertanyakan tentang gadis pilihannya kepada teman-teman, rakan-rakan baik wanita dan orang ramai yang mengenali gadis tersebut. Pelbagai pandangan dan cerita keluar tentang gadis kesukaannya ini. Ada yang memberitahu gadis ini buruk akhlaknya, ada yang kata gadis ini sengau, dan tidak kurang juga ada yang kata gadis ini janda!

Namun Allah memberi akal yang baik kepada lelaki ini. Bahkan lelaki ini meyakini dengan firman Allah, "Lelaki yang baik untuk wanita yang baik," begitulah sebaliknya. Dia tidak terus percaya, tetapi terus mengkaji dan mengenali dengan lebih detail tentang bakal pasangan hidupnya itu. Selepas berusaha dan berdoa kepada Allah, akhirnya lelaki ini membuat keputusan bahawa gadis ini sudah cukup sempurna dan baik untuknya. 

Selepas berkahwin, perkenalan terus dilakukan. Kali ini perkenalan ini lebih jelas dan tepat. Barulah lelaki ini sedar bahawa isterinya sekarang tidak sempurna, ada buruk dan jelik. Tetapi lelaki sedar bahawa tiada yang sempurna, bahkan dirinya sendiri penuh dengan keburukan. Akhirnya lelaki ini menerima bahawa isterinya bukanlah Malaikat bahkan manusia yang boleh saja silap dan salah. 

Cerita perkenalan lelaki dan gadis tersebut sama sahaja perkenalan saya dengan Wahabi. Saya tidak hanya mendengar dari satu pihak. Saya mencari pelbagai nalar sumber, ada yang negatif dan ada juga yang positif. Malah ada yang terus berada di atas pagar!

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36)

Manusia sering menentang kerana kejahilan. Allah melarang kita mengikuti sesuatu tanpa pengetahuan. Allah telah mengurniakan akal kepada manusia agar berfikir, dan kritis. Begitulah saya, tidak mahu termasuk dalam golongan yang sekadar mengikut tanpa berfikir. Allah telah meletakkan satu standard dalam berfikir dan beragama dengan baik iaitu "Ikutlah Allah dan Rasul".

Firman Allah, "Dan ikutlah apa yang diturunkan oleh tuhan kamu (Allah) dan janganlah kamu mengikuti pemimpin selain dari-Nya kerana sedikitlah manfaat yang kamu perolehi.." (Surah Al-A'raf : 3).

Begitu juga dengan firman Allah,  “Sesungguhnya pada diri Rasulallah terdapatnya contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan (keredhaan) daripada Allah swt dan kebaikan pada hari akhirat”. (Surah al-Ahzab:21)

Dalam ayat lain Allah berfirman,“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mendahului sesuatu perkara itu ke atas urusan Allah dan RasulNya dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah itu maha mendengar lagi maha mengetahui”. (Surah al-Hujurat : 1)

Berdasarkan ayat dari surah Al-Hujurat ini, Ibn Katsir menukilkan tafsiran dari Ibnu Abbas bahawa beliau berkata, “Janganlah kamu semua mendahului apa yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah”. Dari ayat-ayat ini juga kita boleh faham, bahawa dalam agama mempunyai standard yang sangat kuat dan perlu dipatuhi oleh semua orang, iaitu dahulukan Al-Quran dan As-Sunnah. 

Selepas kita mempunyai standard ini, barulah kita mudah untuk berkenalan dan memahami Hantu Wahabi ini! 


HANTU  BERNAMA WAHABI

Dahulu saya sering tertanya-tanya, kenapa ramai takut sangat dengan Wahabi. Adakah ia spesis hantu yang beragama atau mereka yang takut ini hanya paranoid dengan perkataan Wahabi seperti orang yang paranoid dengan Wasabi ketika makan sushi?

Selepas panjang saya memikirkan persoalan ini, saya sampai kepada beberapa kesimpulan.
Pertama, mereka yang takut dengan Wahabi kerana Jahil. Makna Jahil, tidak tahu apa-apa tentang Wahabi, tetapi di momokkan dengannya, Wahabi ini seperti sebuah ajaran sesat yang harus ditentang. Tanpa tahupun siapakah Wahabi ini.

Kedua, mempunyai pengetahuan tentang Wahabi, tetapi pembacaan dan perbincangan yang terhad kepada bahan-bahan yang menentang dakwah Wahabi ini. Tidak pernah cuba berusaha untuk mengetahui pandangan satu lagi atau pandangan lain mengenai Wahabi ini secara adil. Tetapi terus membuat kesimpulan bahawa Wahabi ini sesat.

Ketiga, bersikap adil dalam menilai tentang Wahabi. Mempunyai pengetahuan tentang pandangan yang menentang, dan menyokong gerakan Wahabi ini. Kemudian menggunakan akal yang Allah beri untuk bersikap adil dalam menjustifikasi Wahabi, dan membuat kesimpulan bahawa tiada apa yang perlu takut dengan Wahabi. 

Sikap ketiga ini lebih menepati roh Islam dalam memahami sesuatu perkara berdasarkan ilmu dan takwa. Sentiasa berada dalam keadaan pertengahan yang bermaksud tidak berlebih-lebihan dan sentiasa mendahulukan Ilmu dalam tindakan. 

Allah menyebut orang yang berada di pertengahan ini sebagai Wasatiyyah. Firman Allah, "(Dan demikianlah) sebagaimana   Kami  telah  memimpin kamu  ke jalan  yang lurus, (kami  jadikan  kamu)   wahai umat Muhammad  ( satu umat  pilihan  lagi adil, supaya kamu  layak  menjadi orang  yang memberi  keterangan kepada umat manusia)  tentang yang  benar  dan yang salah (dan Rasulullah ) Muhammad (pula  akan menjadi orang yang   menerangkan  kebenaran perbuatan kamu). (Surah Al-Baqarah :143)

Dalam ayat ini, umat Islam ini disifatkan dengan sifat Wasatiyyah yang membawa maksud al-Khairiyyah iaitu kebaikan dan al-‘Adalah iaitu keadilan serta al-Tawassut bayn al-Ifrat wa al-Tafrit iaitu pertengahan antara melampau dalam berlebihan dan melampau dalam berkurangan seperti yang dirumuskan oleh Dr Muhammad Ba Karim dalam kitabnya Wasatiyyah Ahlis Sunnah.

Oleh sebab itu, bagi memahami siapakah dan apakah Wahabi ini,kita perlu ada sifat adil dalam menilai dan sentiasa mendahulukan Al-Quran dan As-Sunnah dalam memahami isu yang cuba akan dijelaskan sebentar lagi. Untuk bersikap adil kita perlu letakkan emosi dan prejudis dalam memehami isu bersifat 'sejarah' ini, dan sentiasa mengingatkan diri bahawa Kebenaran itu kadang-kadang pahit untuk ditelan.


SIAPAKAH DAN APAKAH WAHABI

Gelaran Wahabi dinisbahkan kepada seorang lelaki yang bernama Muhammad Ibn Abdul Wahhab bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin Barid bin Muhammad bin Al Masyarif At Tamimi  Al Hanbali An Najed. Lahir di kampung Uyainah, Najd iaitu 70 km sebelah barat daya Riyadh, Arab Saudi. (Najd adalah sebuah negeri atau kota di semenanjung Arab yang masih murni dan bersih  keIslamannya, sehingga tiada campur tangan dari kekuasaan Turki Usmani yang menguasai Arab Saudi dan Mesir  pada  ketika itu. Lihat : Suharsono. 1992. Gerakan Intelektual, Ijtihad untuk Masa Depan Umat. Yogyakarta : Al Islamiyah, hlm. 50)

Belaiu berasal dari keluarga yang sangat  terhormat dan terpelajar. Ayahnya Syeikh Abdul Wahhab bin Sulaiman  adalah ketua jabatan agama. Manakala datuk beliau, Syaikh Sulaiman  bin Ali, mufti besar, menjadi tempat masyarakat Najd bertanya pelbagai soalan  yang berhubungan dengan masalah agama.

Beliau menjadi terkenal kerana melancarkan gerakan dakwah islah di Semenanjung Tanah Arab untuk menghidupkan semula Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah dimatikan oleh kejahilan umat Islam dalam pelbagai aspek aqidah dan syariat. Usaha beliau mendapat sokongan dan juga tentangan dari pelbagai pihak. Bahkan jika kita melihat dari sudut zaman dan masa ketika itu, ia sesuatu yang 'menongkah arus' dan tepat dengan tindakan beliau. Sokongan dan tentangan terhadap dakwah dan Islah yang beliau lakukan telah tertulis dalam lipatan sejarah. Malah banyak tokoh-tokoh dan sarjana Islam menulis tentangnya.

Antaranya, saya suka memetik pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi tentang lelaki ini seperti yang ada dalam buku besar beliau, feqh keutamaan. Kata Beliau, “Sesungguhnya Imam Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab di Semenanjung Arab, yang menjadi keutamaan di sisinya ialah untuk menjaga aqidah dan batas tauhid daripada gejala kesyirikan dan khurafat yang telah mencemar serta mengeruhkan sumber dan kejernihannya. Untuk itu, beliau telah mengarang pelbagai buku dan risalah serta melancarkan gerakan dakwah bagi memusnahkan pelbagai fenomena kesyirikan ... ”

Untuk pengetahuan, Muhammad bin Abdul Wahab tidak pernah menisbahkan gerakan pemurniaan akidah yang dilakukannya sebagai Wahabi. Bahkan gerakan ini dilakukan hanyalah atas dasar ilmu dan kefahaman beliau tentang agama, bahawa Islam hanyalah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. 

Bagi memurnikan lagi tentang siapakah beliau, mungkin lebih baik saya letakkan kembali pendirian dan kefahaman beliau tentang apa yang dibawa olehnya dari tulisannya sendiri. Tulisan ini ditulis oleh beliau kepada penduduk al-Qasim setelah pelbagai tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Kata beliau, “Aku mempersaksikan kepada Allah dan kepada para Malaikat yang hadir di depanku, dan aku mempersaksikan kepada kamu bahawa sesungguhnya aku beri’tiqad (berpegang) dengan i’tiqad (pegangan) firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi beriman dengan Allah, para Malaikat, Kitab-Kitab, para Rasul, (Hari) Kebangkitan selepas kematian dan beriman dengan Al-Qadar (sama ada) baik atau buruk.

Antara (ciri) keimanan dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia sifatkan DiriNya dengannya dalam kitabNya melalui lidah RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna) dan tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala). Bahkan aku beri’tiqad bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Justeru aku tidak menafikan dariNya apa yang Dia sifatkan diriNya dengannya, aku juga tidak tahrifkan kata-kata (Al-Quran) dari maksud-maksudnya, aku juga tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama serta ayat-ayatNya, aku juga tidak mentakyif (menggambarkan rupa bentuk) dan tidak mentamthil (mengumpamakan makna) sifat-sifatNya yang Maha Tinggi dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana Dia Maha Tinggi, tiada persamaan, tiada kesetaraan dan tiada sekutu bagiNya, Dia tidak boleh dikiaskan dengan makhlukNya kerana sesungguhnya Dia yang Maha Suci lebih mengetahui tentang diriNya dan yang selainNya.

Dia yang paling benar dan paling elok percakapanNya, Dia mensucikan diriNya daripada apa yang disifatkan pada diriNya dengannya oleh para penyeleweng dari kalangan ahli takyif dan tamthil, dan (Dia juga mensucikan diriNya) daripada apa yang dinafikan dariNya oleh para penafi dari kalangan ahli tahrif dan ta’til, lalu Dia berfirman: “Maha suci Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dari apa yang mereka sifatkan, dan selamat sejahtera ke atas sekelian Rasul, dan segala pujian bagi Allah Tuhan sekelian alam." (Muallifat al-Syeikh bertajuk al-Rasail al-Syakhsiyyah yang disemak oleh Syeikh al-Fauzan dan al-‘Aliqi, al-Riyadh, Jld. 5, hlm. 11)


MENGAPA MEREKA MEMUSUHI BELIAU?
Permusuhan terhadap beliau berlaku kerana ketegasannya dalam membersihkan agama Islam dari sebarang khurafat dan bidaah. Pada zaman beliau gejala dan amalan yang kelihatan seperti islamik tetapi tidak bersandarkan Quran dan Sunnah berada di kemuncak. Ia seolah-olah agama Islam adalah buatan tangan manusia, yang boleh diubah sesuka hati, asalkan menepati citarasa agamawan dan masyarakat.


Misalnya, masyarakat di zaman itu memohon hajat di makam Zaid ibn al-Khattab, saudara kandung Umar al-Khattab yang gugur sebagai syuhada' Yamamah ketika menentang nabi palsu, Musailamah al-Kazzab. Oleh kerana gejala khurafat dan syirik berlaku di makam tersebut, makam itu kemudiannya dihancurkan oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab atas bantuan Amir Uyainah, Uthman bin Muammar. (seperti yang dinukilkan dari kitab Unwaanul Majdi Fii Taarikhin Najd karya Utsman bin Basyar dalam sebuah PDF karya Abu Aufa yang bertajuk Siapakah Muhammad Bin Abdul Wahab)

Seterusnya, gerakan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab menghancurkan beberapa makam lagi yang membawa kepada perbuatan khurafat dan syirik. Perbuatannya ini mendapat bantahan oleh masyarakat setempat serta beberapa penguasa.

Di antara perbuatan khurafat lain yang berlaku pada zaman beliau adalah:

  1. Memuja pokok-pokok tamar jantan yang besar. Jika seseorang perempuan lewat kahwin dia akan pergi ke tempat pokok berkenaan lalu memeluk dan memohon hajat daripadanya, seraya berkata: “Hai jantan segala jantan! Aku inginkan seorang suami sebelum habis tempoh”
  2. Memuja sepohon pokok dikenali sebagai At-Tarafiyyah, mereka bergantungan dan memohon hajat kepadanya dengan menggantungkan tali azimat dengan harapan anak mereka akan selamat daripada kejahatan.
  3. Memuja sebuah gua di daerah Dir'iyyah yang didakwa terbentuk untuk menyelamatkan seorang wanita yang teraniaya, dikenali sebagai Bint Al-Amir, lalu mereka memujanya dengan menghantar dan meletakkan makanan seperti daging dan roti di dalamnya.
  4. Di daerah yang sama terdapat seorang lelaki dikenali sebagai Taj yang mendakwa memiliki kedudukan wali, lalu orang ramai bertabarruk (mengambil berkat) dengannya dan memohon pertolongan daripadanya kerana menyangka dia memiliki kuasa tertentu. Sedangkan lelaki itu dikenali dengan tabiat jahat yang bercanggah dengan hukum hakam agama.
  5. Kepercayaan dan amalan seumpama ini berjangkit sehingga ke kawasan Tanah Haram (Makkah dan Madinah), dimana perkara yang sama dilakukan terhadap kubur Ummul Mukminin Maimunah dan Khadijah r.a.. Bahkan jika ada penjenayah yang menziarahi salah satu daripada kubur Mahjub atau Abu Talib mereka tidak akan menahannya kerana menghormati kubur tersebut.
  6. Di Taif berlaku pemujaan terhadap kubur Ibn ‘Abbas r.a. melalui upacara berdoa, bernazar dan korban (penyembelihan binatang) di sisinya. Ada ulama yang terkejut melihat upacara itu berkata: “Penduduk Taif tidak kenal Allah tetapi hanya kenal Ibn ‘Abbas”. Lalu ada yang menjawab: “Itu sudah memadai kerana dia (Ibn ‘Abbas) seorang yang mengenali Allah”.
  7. Di Jeddah berlaku pemujaan terhadap kubur yang dianggap sebagai kubur Hawwa’ Ummul Basyar, hasil rekaan kuncu-kuncu iblis.
  8. Perbuatan khurafat juga berlaku di perkuburan Al-’Alawi sekitar tahun 1210H, di perkuburan Husain Ibn ‘Ali r.a., ‘Abd Al-Qadir Al-Jilani rahimahullah di Iraq dan Ahmad Al-Badawi di Mesir.


Di atas ada sebahagian dari pelbagai amalan dan ritual khurafat yang dilakukan Umat Islam pada zaman beliau. Adakah kita masih belum jelas mengapa beliau dimusuhi? Dan adakah kita masih tidak jelas bahawa segala tindakan tegas beliau berdasarkan Iman dan Taqwa kepada Allah. Semuanya berdasarkan ilmu yang bersandarkan kepada al-Quran dan As-Sunnah.

Fenomena 'beriman' tetapi menyembah selain dari Allah telah lama diingatkan oleh Allah dalam al-Quran. Antaranya Firman Allah, "Dan sebagian besar manusia tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan-Nya (dengan sembahan-sembahan lain)” (Surah Yusuf:106).

Ibnu Abbas menafsirkan ayat ini, “Kalau ditanyakan kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit? Siapakah yang menciptakan bumi? Siapakah yang menciptakan gunung? Maka mereka akan menjawab: “Allah (yang menciptakan semua itu)”, (tapi bersamaan dengan itu) mereka mempersekutukan Allah (dengan beribadah dan menyembah kepada selain-Nya) (Imam Ibnu Katsir dalam tafsir beliau (2/649), lihat juga kitab “Taisiirul Kariimir Rahmaan” (hal. 406).

Bahkan Rasulullah telah lama mengingatkan kita tentang perkara ini sepertimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi, Imam Abu Daud, dan Imam Ibn Majjah. Sabda Nabi, "Tidak akan terjadi hari kiamat sehinggalah beberapa qabilah (suku/kelompok) dari umatku bergabung dengan orang-orang musyrik dan mereka menyembah berhala (segala sesuatu yang disembah selain Allah Ta’ala)” (Hadith ini dinilai Sahih oleh Imam Tirmidzi dan Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani)

Perbuatan syirik kepada Allah telah berlaku lebih awal dari zaman Muhammad Bin Abdul Wahab, dan seringkali diingatkan oleh Allah dan Rasulullah betapa bahayanya syirik. Dan ia tidak terhenti pada zaman Muhammad Bin Abdul Wahab, sehingga kini masih ada lagi perbuatan syirik, khurafat dan bidaah berlaku.

Setiap zaman memerlukan orang-orang yang tegas dan berani berhadapan dengan masyarakat bagi membersihkan umat Islam dari kesyirikan dan kesesatan. Muhammad Bin Abdul Wahab dan ramai lagi pada zaman itu telah terpilih untuk menggalas amanah tersebut. Namun disebabkan beliau lebih menonjol dan mempunyai hubungan yang baik dengan pemerintah, maka beliau dijadikan sasaran dan fitnah.

Perkara ini tidak pelik berlaku, kerana zaman berzaman, mereka yang membawa kebenaran akan difitnah dan diberi pelbagai gelaran. Bahkan kadangkala mereka ini dari golongan minoriti ataupun terasing dari majoriti. Nabi Muhammad menggelarkan orang-orang sebegini sebagai Ghuraba'.

Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, “Islam itu bermula dalam keadaan asing (ghareeb) dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu (ghuraba’).” (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, Kitabul Iman, 1/350, no. 208 (Dari Abu Hurairah). Ibnu Majah, Sunan Ibni Majah, Kitabul Fitan, 11/485, no. 3976 (Dari Abu Harairah). Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 34/25, no. 16094 (Dari 'Abdurrahman B. Sannah))

Siapakah Ghuraba' ini dan bagaimanakah orangnya? Ghuraba' adalah orang-orang yang berada dalam kebenaran, menyebarkan kebenaran ketika ramai dalam kerosakkan.

Dalam sebuah riwayat dari Imam Thabrani dari Sahl r.a, Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam ditanya, “Siapakah Ghuraba' itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Iaitu orang-orang yang melakukan perbaikan ketika orang-orang lain rosak.”

Dalam riwayat Imam Tirmidzi dan Ibnu Majah dari Ibnu Mas’ud r.a, maksud ghuraba adalah An Nuzza’ minal Qaba-il (Orang-orang yang memutuskan diri dari golongannya). Maksudnya tidak fanatik dengan golongannya.

Dalam riwayat Imam Baihaqi dan Imam Tirmidzi yang lain , maksud ghuraba adalah “Orang-orang yang menghidupkan sunnahku dan mengajarkannya kepada manusia.”

Dalam riwayat Imam Ahmad dan Imam Thabrani, maksud ghuraba adalah “Manusia soleh yang sedikit di antara manusia yang banyak. Orang yang menentang mereka lebih banyak di banding yang mentaati mereka.”


Saya akhiri tulisan ini dengan sebuah kata-kata Muhammad Bin Abdul Wahab ketika difitnah oleh seorang ulama' Besar Iraq ketika itu, iaitu Syeikh Abdul Rahman bin Abdullah al-Suwaydi.

Beliau menulis:

"Dengan memuji Allah, aku menyatakan kepadamu bahawa aku seorang muttabi’ (pengikut sunnah Rasulullah) bukan mubtadi’ (pembuat bid‘ah). Akidah serta agamaku, di mana menerusinya aku menyembah Allah adalah mazhab Ahl al- Sunnah wa al-Jamaah yang dianuti oleh para imam kaum Muslimin yang termasuk di dalamnya imam empat mazhab (Hanafi, Maliki, al-Syafi’ie serta Hanbali) serta orang-orang yang mengikuti jalan mereka sehingga hari kiamat. Aku menyeru manusia agar mengikhlaskan agama mereka hanya kepada Allah serta melarang mereka dari meminta pertolongan kepada orang yang sudah mati sama ada di kalangan orang yang salih mahupun tidak. Aku melarang mereka dari melakukan perbuatan syirik terhadap Allah dalam urusan peribadatan yang termasuk di dalamnya perkara sembelihan (al-Dhab), sumpah (Nazar), penyerahan diri (Tawakkal), sujud serta yang seumpama dengannya yang merupakan hak mutlak Allah semata-mata. Ia tidak diserahkan kepada selainnya sama ada di kalangan malaikat yang dekat (muqarrabun) mahupun Nabi yang diutuskan. Ini merupakan perkara yang didakwahkan para Rasul dari awal hingga akhirnya dan juga pegangan Ahl al- Sunnah wa al-Jamaah."


Semoga Allah memberkati masa dan hidup kita. Semoga kita terus mengkaji dan membuat pembacaan tentang beliau. Beliau tidak maksum, bahkan banyak kesilapan dan kesalahan beliau dalam berijtihad. Tetapi akidah beliau, akidah yang benar, dan perjuangan beliau dalam membersihkan umat Islam dari khurafat dan bidaah harus dipuji dan diberi kredit. Yang benar kita katakan benar, yang salah kita tetap katakan ia salah. Tetapi bukan bermakna kita dengan mudah untuk menuduh beliau kafir, khawarij, sesat dan sebagainya, hanya kerana nafsu dan kejahilan kita tentang beliau.

Muhammad bin Abdul Wahab, adalah seorang Muslim yang baik dan soleh. Beliau seperti lelaki lain yang ada benar dan salah. Tiada apa yang perlu ditakutkan dengan Wahabi, malah Wahabi hanyalah sebuah nama yang cuba diberi konotasi negatif. Ia lebih sebuah gerakan memurnikan akidah Umat Islam pada zaman tersebut. Semoga Allah menyelamatkan kita dari tipu daya syaitan dan memasukkan kita dalam golongan yang beriman, dengan keimanan yang sebenar-benarnya.


Yang Benar,
Yussamir Yusof tidak takut Wahabi,
Krubung Perdana, Melaka.
24 Jun 2014












No comments:

Post a Comment